Cerewet atau Nyawa ? Selamatkah kita di UTHM….??

Akhbar Utusan Malaysia bertarikh 13 September melaporkan bahawa Batu Pahat sebagai “Daerah Nahas”. Begitu juga dengan akhbar yang lain turut melaporkan bahawa Batu Pahat atau lebih tepat lagi laluan Parit Raja merupakan di antara 10 jalan atau laluan yang paling bahaya di Malaysia.

Sahabat-sahabat pastinya kurang terkejut apabila akhbar melaporkan sedemikian. Ini kerana boleh dikatakan setiap hari mahasiswa dan mahasiswi yang tinggal diluar kampus khususnya yang tinggal di Kolej Kediaman Melewar dan Perwira mahu pun yang tinggal di rumah sewa menggunakan laluan tersebut untuk berulang-alik ke kampus.

Sebanyak 110 kematian daripada 95 kemalangan dilaporkan telah berlaku di daerah ini setakat tarikh 11 September 2008. Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner, Ibrahim Mohd. Aris berkata, sebahagian besar kemalangan itu berlaku di sepanjang Jalan Batu Pahat-Kluang (termasuk laluan UTHM-Kampus Bandar) dan diikuti Jalan Yong Peng-Muar.Menurutnya, sebanyak 121 kematian membabitkan 107 kemalangan pula dicatatkan di daerah ini sepanjang tahun lalu dan trendnya didapati terus meningkat.

Kebanyakkan kemalangan berlaku pada waktu puncak (7.00-9.00 pagi / 5.00-7.00petang).Antara punca kemalangan yang telah dikenalpasti adalah berpunca daripada sikap pemandu sendiri yang tidak berdisiplin iaitu keluar dan masuk ke persimpangan jalan sesuka hati. Disamping itu juga tidak dinafikan sikap kebanyakkan pemandu sama ada kenderaan kecil atau besar yang memandu dengan laju memandangkan laluan tersebut mempunyai 4 lorong. Tambahan pula keadaan laluan tersebut tidak mempunyai pemahagi jalan(divider) menjadikan ianya amat merbahaya kepada semua pengguna termasuklah pejalan kaki.

Asisten Komisioner, Ibrahim Mohd. Aris ada mencadangkan kepada JKR supaya dibina pembahagi jalan pada laluan tersebut. Kita sebagai mahasiswa yang menetap di Parit Raja ini pastinya sudah lama memikirkan perkara tersebut. Namun ada cerita disebalik pembahagi jalan tersebut, kerana dimaklumkan bahawa ada sesetengah masyarakat disini yang kurang bersetuju dengan pembinaan pembahagi jalan dengan alasan ianya sangat cerewet dan menyusahkan.

Isunya disini, diantara terkorbannya NYAWA berbanding sedikit CEREWET yang mungkin menyusahkan, manakah yang patut diutamakan? Kalau tidak silap saya, pada sesi yang lalu boleh dikatakan setiap semester dilaporkan pelajar UTHM yang meninggal dunia asbab terlibat dalam kemalangan di laluan tersebut.

Sahabat Iqra’ iaitu saudara Muaz (Kolej TSN) juga pernah terlibat dalam kemalangan motosikal dilaluan Parit Raja ini yang mana menyebabkan beliau koma dan patah leher. Kawan sekelas saya Faizan(FPTek)juga pernah terlibat dalam kemalangan dimana tulang bahunya telah patah. Alhamdulillah Allah takdirkan kedua-duanya selamat. Tapi bagaimana pula dengan kita? Adakah terjamin keselamatan kita disini?

Sebagai peringatan bersama, Saya nasihatkan pada diri dan juga sahabat-sahabat sekalian, bersamalah kita menjaga keselamatan diri sepanjang menggunakan laluan “Nahas” ini. Semoga Allah selamatkan kita semua dan dijauhkan kita semua daripada bala yang mengerikan.... InsyaAllah….

Muhd Muhaimin Bin Zakaria (Timb. Pengerusi K.I 0708)
www.muhaimin87.blogspot.com

0 comments:


Kecantikan yang abadi terletak pada keelokkan adab dan ketinggian ilmu seseorang, bukan terletak pada wajah dan pakaiannya. (Hamka).

"Dalam diari pejuang tiada masalah yang merumitkan, ujian yang melemahkan, dugaan yang menyusahkan, bahkan itu semua dijadikan batu lontan untuk lebih hebat...mereka tepu dengan dugaan...cuma sesekali aicr maata menerjah pipi, lambang kekerdilan kudrat hamba...berdepan dengan belaian Pencipta...sebagai tanda ingatanNya...."


Saifulislam.Com