Carter sifatkan Israel lakukan jenayah terhadap penduduk Palestin

KAHERAH: Bekas Presiden Amerika Syarikat, Jimmy Carter, menyelar tindakan Israel mengenakan sekatan ke atas Gaza dan menyifatkannya sebagai jenayah dan kekejaman yang menyebabkan 1.6 juta penduduk Palestin di wilayah itu berisiko meninggal dunia kerana kebuluran.


"Ia satu bentuk kezaliman yang dianggap sebagai hukuman ke atas penduduk di Gaza. Ia satu jenayah. Ia menjijikkan kerana kekejaman itu berterusan," katanya dalam ucapan di Universiti Amerika di Kaherah.


Israel, yang disokong kuat Amerika Syarikat, mengenakan sekatan ke atas Gaza sejak Hamas mengambil alih pentadbiran di wilayah itu dari Fatah.

Carter, pemenang Hadiah Nobel Keamanan 2002, berkata penduduk Palestin di Gaza 'dibiarkan kebuluran sehingga mati', dan tidak mendapat bekalan kalori mencukupi berbanding penduduk di bahagian paling miskin di Afrika.

Katanya, Israel dan Amerika cuba menjadikan kualiti hidup di Gaza semakin teruk berbanding di Tebing Barat, kawasan pentadbiran Presiden Mahmoud Abbas.

Lapan kumpulan bantuan Britain bulan lalu berkata, 1.6 juta penduduk Palestin di Gaza dilanda krisis kemanusiaan paling teruk dalam masa 40 tahun berikutan sekatan berterusan rejim Zionis itu.

Carter, arkitek perjanjian damai Mesir-Israel pada tahun 1979, berkata usaha Amerika meminggirkan Hamas nyata tidak berhasil.

"Saya rasa ia cuma mengukuhkan lagi populariti Hamas dan menjejaskan kedudukan Fatah," katanya.

Memetik kenyataan dokumen sulit, majalah Amerika, Vanity Fair, mendedahkan pentadbiran Presiden George W Bush merangka pelan untuk menggulingkan Hamas selepas kemenangan pasukan itu pada pilihan raya Parlimen pada tahun 2006 dengan bantuan orang kanan Fatah, Mohammad Dahlan, memaksa Hamas mengambil tindakan awal dengan menawan Semenanjung Gaza.

Carter, yang dalam lawatan sembilan hari untuk mempromosikan proses damai Asia Barat, berkata pemimpin Hamas yang ditemui di Kaherah Khamis lalu memberitahu kumpulan pejuang itu akan menerima perjanjian damai dengan Israel yang dianjurkan Mahmoud jika penduduk Palestin meluluskan ia dalam referendum.

Bekas pemimpin itu bertemu dengan Menteri Luar Palestin, Mahmoud al-Zahar dan bekas Menteri Dalam Negeri, Saeed Seyam di Kaherah Khamis lalu.

sumber : BH

0 comments:


Kecantikan yang abadi terletak pada keelokkan adab dan ketinggian ilmu seseorang, bukan terletak pada wajah dan pakaiannya. (Hamka).

"Dalam diari pejuang tiada masalah yang merumitkan, ujian yang melemahkan, dugaan yang menyusahkan, bahkan itu semua dijadikan batu lontan untuk lebih hebat...mereka tepu dengan dugaan...cuma sesekali aicr maata menerjah pipi, lambang kekerdilan kudrat hamba...berdepan dengan belaian Pencipta...sebagai tanda ingatanNya...."


Saifulislam.Com