Agenda Tarbiyah vs. Cita-cita Siasah

Saya begitu tertarik dengan satu artikel daripada laman Saifulislam.com yang mengupas berkaitan "Agenda Tarbiyah vs Cita-cita Siasah".

Artikel ini sebenranya sudah lama dipostkan oleh penulis (Abu Saif @ Ustaz Hasrizal), namun saya baru terbaca dan suka untuk berkongsi dengan sahabat-sahabat pengunjung.



Abu Saif cuba mengaitkan senario yang melanda Gerakan Islam di Malaysia khususnya PAS dan di juga negara-negara lain seperti Ikhwanul muslimun di Jordan, AKP di Turki dan sebagainya... Pertembungan antara Siasah dan Tarbiyyah pada pandangan saya sesuatu yang perlu dipandang serius dan memerlukan penyelesaian yang terbaik.



Pertembungan ini pada saya berlaku tidak lain dan tidak bukan masing-masing(gerakan Islam di seluruh dunia/negara) mempunyai impian dan hasrat yang begitu tinggi untuk meninggikan Agama Allah s.w.t du muka bumi ini seterusnya mengembalikan kegemilangan Khilafah Islamiyyah.

Artikel ini juga menyentuh berkaitan fenomena yang berlaku di Jordan, bagaimana pemisahan identiti (siasah dan tarbiyyah) yang dilakukan oleh Ikhwanul muslimun rentetan tekanan daripada pemerintah dan penguasa. Entiti siasah dan Tarbiyah diasingkan dengan mewujudkan parti Jabhah al-'Arnal al-Islami atau Islamic Action Front. Penubuhannya menjadikan mereka dapat bergerak secara berasingan biarpun kedua-duanya mendokong idealisma yang sama.

Setelah selesai membaca artikel ini, tergerak di hati saya untuk mencadangkan supaya di Malaysia khusunya, semua gerakan Islam sepatutnya disatukan Idealisme dengan memandang bahawasanya Risalah Islam yang dibawa adalah sama namun tidak mengapa pendekatan berbeza. Contohnya, Jemaah PAS digalakkan untuk meneruskan agenda siasahnya (kerana sudah lama dan berpengalaman dalam siasah) dalam memastikan Islam dapat menerajui kepimpinan negara dan dalam masa yang sama Jemaah-jemah lain seperti JIM, ABIM, ISMA, HALUAN dan sebagainya menjadi entiti yang mengukuhkan Tarbiyah dikalangan penyokong atau pengikut PAS.


Setahu saya, ianya pernah berlaku sebelum ini dimana Tuan Guru Abdul Hadi sewaktu memegang Tarbiyah di dalam PAS pernah bekerjasama dengan ABIM bagi meningkatkan Tarbiyyah dikalangan ahli PAS. Namun sekarang ianya dilihat tidak lagi berlaku ditambah pula dengan wujudnya pelbagai Jemaah baru yang pelbagai nama.


Pada pandangan saya, usaha kearah ini patut berlaku kerana pemisahan idealisme dengan pelbagai jemaah ini amat merugikan Islam. Masing-masing (pengikut) seolah-olah wujud tembok pemisah yang menyebabkan mereka tidak boleh bekerjasama. Mungkin diperingkat pimpinan tertinggi tidak bermasalah, tetapi ahli-ahli dibawah terlalu "terpisah" bahkan kritikal di kampus-kampus.


Sewaktu dikampus dan sekarang diluar kampus saya sempat melalui dan merasainya dan merasakan fenomena ini ianya langsung tidak bermanfaat kepada Islam khusunya di Malaysia, umumnya dunia (Khilafah Islam).


Tidak berniat saya mengulas panjang, sama-sama kita hayati apa yang diperjelaskan oleh Abu Saif dalam tulisan beliau.....

---------------------------------------------------------------------------------------------------------
AGENDA TARBIYAH VS CITA-CITA SIASAH

Oleh : ABU SAIF @ http://www.saifulislam.com/

Saya sedang memikirkannya secara serius.



Apakah akan sampai satu hari nanti PAS terpaksa memisahkan identiti TARBIYAHnya daripada identiti SIASAH? Pemisahan bukan kerana pemisahan prinsip pada cabang-cabang pemikiran Niccolò Machiavelli dalam Siasah dan Sayyid Qutb di dalam Tarbiyah. Bukan begitu. Pemisahan yang saya maksudkan itu adalah pemisahan yang terbit dari kegagalan menserasikan gerak kerja siasah berbanding cita-cita Tarbiyah.


Wujudkah idea atau masalah seperti ini?


Jawapan saya, YA.


Ada yang wujud secara terancang dan ada juga yang wujud secara tidak terancang.


Biar saya sentuh tentang sampel perbandingan ini, setelah saya selesai menjelaskan mengapa isu ini saya kaitkan dengan survival PAS.


SENARIONYA


Mungkin dalam keghairahan kita bekerja keras untuk menumbangkan Barisan Nasional dalam PRU12 yang lalu, kita terlepas pandangan kepada siapa yang kita ajak naik sekapal. Seumpama bahtera Nuh ’alayhi al-Salam, pelbagai spesis bersatu di dalam bahtera yang belum bernama, tetapi disepakati sebagai kenderaan paling efektif keselamatan berdepan dengan ribut penindasan dan kezaliman pemerintah.


Dalam ribut dan hujan itu, kita berasa kagum dengan kepelbagaian spesis yang duduk sekapal. Kagum sekali di dalam kempen PAS, kaum Cina dan India memenuhi ruang. Terkasima melihat pemuda India bermotor mengibarkan bendera PAS di sana sini. Malah terkejut sekali melihat kekecewaan kaum Cina tatkala Lim Kit Siang buat masalah dengan Istana Perak.


Segala perbezaan agama, bangsa dan ideologi nyata tidak relevan tatkala sasarannya ialah kezaliman BN yang mesti ditumbangkan.


Sunnatullah, kerjasama dalam pasukan sentiasa lebih utuh dari bergerak sendirian. Hasilnya luar biasa, lima negeri dan satu Wilayah Persekutuan tersungkur dan kini terwarta sebagai wilayah Pakatan Rakyat.


Jika sebelum ini kita uzurkan perbezaan kerana mahu menumbangkan kezaliman, kini kita sedang teruji untuk mendamaikan perbezaan kerana mahu menegakkan keadilan.


Di sinilah terbitnya warna warni sebenar kita. PKR dimomok-momokkan sebagai ’belum hilang budaya UMNOnya’. DAP pula kelihatan belum bersedia untuk lebih berwajah nasional dan PAS pula, semakin dipersoalkan sejauh manakah mereka telah berubah, atau hakikatnya masih sama seperti sebelumnya


Semenjak di awal kempen PRU12, saya sudah pun membangkitkan tentang perlunya perubahan yang dilakukan oleh PAS, didokumentasikan dalam bentuk yang jelas. Apakah sebenarnya yang berlaku hingga PAS berubah? Atau mungkin boleh dipatah balikkan soalan itu kepada, apakah sebenarnya PAS sudah berubah?


Soalan-soalan ini terbiar tanpa penjelasan yang menghasilkan diam. Memang ada kenyataan-kenyataan dibuat oleh satu dua atau tiga orang pemimpin PAS tetapi ia masih kekal sebagai kepingan puzzle yang belum dikenal pasti apakah gambaran akhirnya.


· Apakah perubahan pendekatan PAS dari perjuangan Negara Islam kepada Negara Berkebajikan itu kesan daripada keputus asaan PAS terhadap konsep Negara Islam yang diperjuangkannya?


· Apakah perubahan pendekatan PAS itu adalah sebagai strategi sementara tatkala PAS belum ada upaya untuk bersendirian memperjuangkan apa yang ingin diperjuangkannya? Lantas demi mencari teman perjuangan, PAS mengubah suai pendekatan untuk mencari common language ?


· Apakah perubahan pendekatan PAS itu adalah taqiyyah ? Berpura-pura berubah untuk meraih kemenangan dan seandainya kekuatan yang terhasil memungkinkan dirinya untuk bertindak, maka PAS akan kembali kepada dirinya yang sebelum ini?


· Atau apakah perubahan pendekatan PAS itu adalah kerana pendefinisian semula yang dilakukan oleh PAS terhadap apa yang dimaksudkannya sebagai Negara Islam, Politik Islam dan sistem hidup Islam? Jika benar ia suatu pendefinisian, apakah ia sesuatu yang positif atau negatif?


Persoalan-persoalan ini sudah pernah saya ketengahkan, khususnya di dalam artikel pasca PRU12 seperti ”MENJERNIHKAN PERUBAHAN PAS – DAP”. Keperluan kepada analisa terpeinci terhadap motif perubahan PAS semasa PRU12 itu menjadi lebih kritikal apabila ia dirujuk kepada aspek perkaderan dan pembentukan fikrah ahli-ahli gerakan Islam, khususnya PAS sendiri.


Di dalam bahasa Tarbiyah, apakah yang dimaksudkan dengan perubahan-perubahan ini?



KESAN KESAMARAN


Apabila kesamaran itu dibiarkan, ia memutikkan permasalahan apabila PAS mula masuk ke gelanggang kerja.


Tidak ada pihak yang mampu mendakwa bahawa kemenangan Pakatan Rakyat di dalam PRU12 itu adalah kemenangan kumpulannya.




PKR yang menang besar itu pasti tidak lupa kepada setiap peluh keringat jentera PAS yang membantu di segenap kawasan yang ditandinginya. DAP juga tidak dapat lari dari kenyataan bahawa kemenangan yang diperolehinya adalah sebahagiannya hasil keterbukaan segelintir orang Melayu dan Muslim yang sanggup memejamkan sebelah mata mereka dari segala catatan silam, atas optimisnya mereka kepada komitmen DAP kepada prinsip-prinsip yang adil dan saksama. Malah PAS juga masih terkenang-kenang betapa nostalgianya PRU12 apabila bulan purnama dan laungan Takbir disohorkan bukan lagi oleh Melayu (berketayap) semata-mata malah segala jenis Melayu, dan ditambah dengan bukan Melayu dan bukan Muslim.


Selepas kepelbagaian itu mencetuskan momentum kemenangan, bagaimanakah kepelbagaian itu menuntut ghanimah selepas pilihanraya? Di sinilah terujinya semua pihak.


Dari perspektif PAS, bagaimanakah sikap dan pendekatannya untuk menguruskan kepelbagaian kawan dan lawan selepas menjadi kerajaan memerintah? Mampukah performance PAS mengalihkan lawannya menjadi kawan? Sejauh manakah PAS mampu mengekalkan kawan sebagai kawan dan apakah ada kawan yang berubah menjadi lawan? Kesemuanya ini memerlukan kepada kemampuan tahap tinggi oleh PAS untuk mengaturnya.

KONSERT MAS IDAYU DAN ELLA


Baru-baru ini Selangor dipanaskan dengan bantahan Pemuda PAS Negeri terhadap konsert Mas Idayu dan Ella sempena perlawanan bolasepak Piala Sultan Selangor. Bantahan ini menjadi satu kes yang jelas untuk dijadikan sampel kepada pertembungan di antara hasrat TARBIYAH dan tindak tanduk SIASAH yang saya perkatakan di awal artikel ini.


Tentu sahaja, di atas kefahaman dan pegangan yang berpaksikan kepada TARBIYAH, apa yang dilakukan oleh Pemuda PAS Selangor itu merupakan tindakan yang berasaskan kepada prinsip amar maa’ruf nahi munkar. Hubungkait tindakan itu dengan kehendak teks TARBIYAH amat jelas. Namun persoalannya ialah, sejauh mana tindakan itu tepat pada ukuran SIASAH? Mahu tidak mahu, ia harus dipertimbangkan dari sudut SIASAH kerana PAS bukan gerakan dakwah semata-mata, tetapi ia adalah sebahagian daripada kerajaan yang memerintah.


Sebagai sebuah kerajaan yang memerintah, apakah tiada pendekatan lain yang lebih sesuai untuk tindakan amar maaruf dan nahi munkar dilakukan agar SIASAHnya tidak lari? Bantahan, memorandum, pemulauan, mungkin merupakan tindakan yang diambil oleh pihak yang tiada akses kepada kuasa eksekutif. Ia sesuai menjadi agenda pembangkang. Tetapi selepas menjadi pemerintah, apakah tidak mungkin bantahan itu dilakukan dalam format tindakan sebuah kerajaan?


Justeru timbul dua persoalan.


Apakah tindakan amar maaruf nahi munkar dengan format pembangkang itu dipilih kerana PAS terlupa yang dirinya sudah menjadi kerajaan yang memerintah (sebahagian jika tidak semua, dalam konteks Selangor). Atau PAS tidak mempunyai pengaruh untuk mempengaruhi rakannya di dalam PKR dan DAP agar menilai kembali konsert tersebut?


Atau mungkin boleh ditimbulkan soalan ketiga iaitu, apakah ada kemungkinan satu tindakan di luar kotak adalah apa yang diperlukan untuk menangani masalah ini (masalah Mas Idayu, atau Ella, atau artis, atau konsert, atau apa sebenarnya?)


Mahu tidak mahu, kita tidak harus mengenepikan pengaruh artis dan industri hiburan dalam keupayaannya mempengaruhi masyarakat. Cukuplah beberapa orang artis bergiat secara aktif membantu BN di dalam kempen PRU12 yang lalu. Kita tidak mahu artis bergabung pula menentang Pakatan Rakyat atau PAS itu sendiri. Kita tidak mahu dan tidak perlu menambah musuh.


Tentu sahaja saya tidak berada di posisi terbaik untuk menyatakan alternatif yang sepatutnya diambil oleh Pemuda PAS Selangor atau PAS Negeri sendiri. Justeru, pandangan yang dikemukakan ini hanyalah sumbangsaran fikiran yang dicetuskan sebagai bahan fikir yang kecil dan kerdil.


Sebagai sebahagian daripada kerajaan yang memerintah, apakah tidak mungkin Kerajaan Negeri Selangor ’memanggil’ artis melalui pertubuhan-pertubuhan mereka untuk berdialog?


Saya berkeyakinan bahawa kumpulan artis yang selalu dianggap sebagai ’pesalah’ ini, mungkin boleh bertindak sebaliknya jika kerajaan yang datang dari inspirasi TARBIYAH itu lebih terbuka pendekatan SIASAHnya. Sampaikan kepada mereka hasrat kerajaan Negeri bahawa dalam suasana masyarakat hidup tertekan dengan kenaikan kos hidup dan tekanan-tekanan yang lain, golongan artis diharapkan dapat menyuntik sesuatu yang lebih positif kepada masyarakat. Jangan dibelenggu dengan mesej-mesej yang melemahkan fikiran dan semangat rakyat untuk hidup. Sebaliknya gunakanlah kreativiti masing-masing untuk menghasilkan karya yang boleh menyuntik momentum survival kepada masyarakat.


Dalam erti kata yang lain, iktiraf peranan artis dan orang seni, berikan projek kepada mereka sesuai dengan ’kelebihan’ yang mereka ada. Kemudian dalam masa yang sama, suntikkan nilai-nilai yang secara berperingkat boleh mengubah mindset, world view, paradigma mereka terhadap kehidupan… sesuai dengan hakikat manusia yang diciptakan Tuhan sebagai makhluk inside-out.


Perubahan harus datang dari dalam.


Di dalam masa yang sama, soal penguatkuasaan harus juga berjalan.Hiburan yang terlalu melampau, harus dipantau dan diambil tindakan. Namun pembaris yang mahu diguna oleh sebuah gerakan Islam yang menjadi kerajaan memerintah haruslah seimbang di antara tuntutan TARBIYAH dengan SIASAH.


SEDAR TENTANG SOKONGAN


Sebahagian golongan Salafi tidak perasan bahawa segelintir yang menyokong mereka bukanlah kerana Islam yang mereka bawa, sebaliknya kerana titik sepakat mereka yang menentang tradisionalisma dan anasir-anasir konservatif di dalam masyarakat dan kehidupan beragama. Begitu jugalah PAS harus sedar bahawa sebahagian daripada mereka yang memberikan sokongan kepada mereka bukanlah kerana Islam yang mereka bawa, tetapi di atas titik sepakat semua yang menentang BN, sama ada kerana kezaliman mereka, atau sifat sesetengah golongan muda yang memang anti establishment.


Tatkala BN memerintah, mungkin sahaja BN menjadi sasaran golongan anti establishment ini. Dan apabila Pakatan Rakyat mentadbir, tidak mustahil kerajaan yang baru ini pula menjadi sasaran kumpulan ini. Itu yang saya fikirkan tatkala mengamati insiden yang berlaku di Kelana Jaya hari ini (6 Julai 2008).



Justeru di mana hujung pangkal masalah ini untuk suatu tindakan yang berkesan boleh diambil? Saya tidak ada jawapan yang mudah untuknya.


Tetapi saya ingin membawa kita semua kembali kepada isu pokok, iaitu agenda menserasikan kehendak TARBIYAH dengan SIASAH.


PAS dan mana-mana gerakan Islam tidak akan bertemu dengan konflik ini selagi mana ia duduk sebagai pembangkang. Hal ini akan hanya timbul apabila sebuah gerakan Islam berjaya sampai kepada kuasa. Prinsip-prinsip yang mendominasi TARBIYAH sebuah gerakan Islam, akan teruji dengan realiti yang harus ditadbirnya dengan mandat SIASAH yang diterima. Mungkin berjaya, mungkin sebaliknya.


SAMPEL TERANCANG


Di negara seperti Jordan, Al-Ikhwan al-Muslimun sebagai sebuah gerakan Islam memisahkan identiti TARBIYAH daripada identiti SIASAH.


Ditubuhkan seawal 1942, Al-Ikhwan al-Muslimun Jordan kekal bertahan dan terselamat daripada tindakan-tindakan pengharaman oleh Istana dan kerajaan yang memerintah, yang mana salah satu strategi yang diguna pakai, adalah mewujudkan entiti politik yang berasingan, dikenali sebagai Jabhah al-’Amal al-Islami atau Islamic Action Front. Penubuhannya secara rasmi pada tahun 1992 menjadikan Jabhah al-’Amal al-Islami dan Ikhwan, bergerak secara berasingan biar pun kedua-duanya mendokong idealisma yang sama.


Secara mudahnya, al-Ikhwan al-Muslimun bergerak dengan agenda TARBIYAH mereka manakala Jabhah al-’Amal al-Islami pula menjadi platform politik. Ahli kepada al-Ikhwan al-Muslimun tidak dibebankan dengan tanggungjawab untuk menceburkan diri ke arena politik dengan menjadi calon Jabhah al-’Amal al-Islami. Tindakan-tindakan Jabhah di arena politik tidak disabitkan kepada identiti al-Ikhwan al-Muslimun dan perkembangan politik Jordan juga terhad impaknya kepada Jabhah tanpa mengorbankan Ikhwan.


SAMPEL TIDAK TERANCANG


Keadaannya agak berbeza apabila kita mengambil gerakan Islam di Turki sebagai kajian. Hingga ke akhir 90’an, gerakan Islam di Turki mempunyai banyak persamaan dengan Malaysia. Penglibatan Parti Refah di dalam politik Turki amat mirip kepada penyertaan PAS di dalam politik di Malaysia.


Akan tetapi, tekanan-tekanan yang amat dahsyat telah mendesak gerakan Islam di Turki untuk menyemak kembali pendekatan dan agenda mereka. Persoalan form and substance menjadi titik penting yang dianalisa oleh pendukung-pendukung Refah yang kemudiannya beralih ke Fazilet selepas pengharaman Refah pada tahun 1998. Desakan untuk menilai pembawaan mereka menjadi lebih kritikal apabila Fazilet pula diharamkan pada tahun 2001.


Tekanan dari luar dan dalam mendesak tokoh-tokoh seperti Necmettin Erbakan, Receb Tayyip Erdogan, Abdullah Gul, Recai Kutan dan lain-lain duduk mencari solusi. Apakah satu parti baru mahu dibentuk dengan form and substance yang sama dengan Refah dan Fazilet, atau bagaimana?


Di sinilah berlakunya pertembungan di antara cita-cita TARBIYAH dengan SIASAH. Necemettin Erbakan dan barisan ‘Old Guards’ politik Islam di Turki mahu supaya mesej asal perjuangan mereka diteruskan. Persoalan Negara Islam, perlaksanaan Syariat Islam, menjadi sesuatu yang diperjuangkan secara jelas, sekurang-kurangnya mirip kepada slogan-slogan Refah dan Fazilet sebelumnya.


Manakala generasi muda seperti Erdogan pula mahu pendekatan yang lebih realistik diambil tanpa membelakangkan nilai-nilai Islam itu sendiri.


Mereka gagal mencapai kata sepakat.


Akhirnya kerjasama yang wujud selama ini retak dan dua pembawaan itu terpaksa membawa haluan masing-masing. Aspirasi TARBIYAH Necmettin Erbakan dimanifestasikan dengan penubuhan Parti Saadet di bawah kepimpinan Recai Kutan. Manakala pendekatan SIASAH baru dengan form and substance yang baru pula diterjemahkan dengan penubuhan Parti Adalet ve Kalkinma (AKP) yang diterajui oleh Receb Tayyip Erdogan.


Hari ini, jika mahu dibandingkan PAS di Malaysia dengan Turki, apakah PAS lebih mirip kepada Saadet atau AKP? Masih sulit untuk soalan sebegini dijawab.


Apakah ia suatu keuntungan kepada survival Islam di Turki?


Masih sulit untuk kita berikan jawapan. Di dalam Pilihanraya Umum 2007, cita-cita baru yang diperjuangkan oleh SIASAH AKP telah berhasil mencapai 46.66% undian. Manakala Parti Saadet dan cita-cita TARBIYAHnya hanya berhasil memperolehi 2.34%.


Persimpangan yang memisahkan agenda TARBIYAH dengan survival SIASAH di Turki berlaku dalam suasana perpecahan dan tidak terancang.


BAGAIMANA PAS DAN MALAYSIA


Soalnya, apakah keadaan yang berlaku ke atas Al-Ikhwan al-Muslimun dan kumpulan-kumpulan Islam di Turki, akan juga berlaku ke atas PAS di Malaysia? Sejauh manakah kehendak-kehendak Islam yang diperjuangkan PAS di dalam agenda TARBIYAH, mampu dipertahankan ketika memegang mandat SIASAH sebagai kerajaan yang memerintah?


Seandainya pemisahan identiti TARBIYAH dan SIASAH ini merupakan sesuatu yang tidak boleh dielakkan, maka apakah PAS akan memilih pemisahan secara terancang, atau menunggu hingga datang unsur terpaksa dan kemudiannya menyebabkan berpecahnya dua aliran ini?


Jika PAS meyakini bahawa kehendak TARBIYAH dan SIASAH tidak pernah bergesel dan isu yang ditimbulkan ini langsung tidak relevan dengan realiti yang ada, maka sikap-sikap PAS selaku pemerintah khususnya di negeri seperti Perak, Selangor dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur akan terus menjadi medan ujian. Kebijaksanaan dan kematangan PAS menzahirkan bahawa PAS mampu menguruskan perbezaan agama, bangsa dan ideologi, hatta juga perbezaan genre muzik, adalah untuk menjawab benarkah PAS ini memang UNTUK SEMUA.


PAS UNTUK SEMUA itu sangat kritikal untuk diterjemahkan kepada tindakan kerana ia berfungsi sebagai bahasa politik kepada menterjemahkan firman Allah:


Dan tiadalah Kami mengutuskan Engkau (Wahai Muhammad), melainkan untuk menjadi rahmat bagi sekalian alam [Al-Anbiyaa’ 21: 107].



0 comments:


Kecantikan yang abadi terletak pada keelokkan adab dan ketinggian ilmu seseorang, bukan terletak pada wajah dan pakaiannya. (Hamka).

"Dalam diari pejuang tiada masalah yang merumitkan, ujian yang melemahkan, dugaan yang menyusahkan, bahkan itu semua dijadikan batu lontan untuk lebih hebat...mereka tepu dengan dugaan...cuma sesekali aicr maata menerjah pipi, lambang kekerdilan kudrat hamba...berdepan dengan belaian Pencipta...sebagai tanda ingatanNya...."


Saifulislam.Com