SOLAT DAN IMAN SEBAGAI MEMPERINGATI ISRAK DAN MIKRAJ


Setiap tahun, ketibaan bulan Rejab disambut dan diperingati oleh seluruh umat Islam di seluruh dunia. Ini kerana pada tanggal 27 Rejab terjadi satu peristiwa penting dan bersejarah ke atas junjungan besar kita Nabi Muhammad sallallahu alaihi wasallam.

Peristiwa Israk dan Mikraj merupakan salah satu peristiwa yang luar biasa lagi menakjubkan alam fikiran manusia.

Israk bererti suatu perjalanan, yakni berjalannya Nabi di malam hari dari Masjidilharam di Mekah hingga ke Masjidilaqsha di Palestin menurut kekuasaan Allah subhanahu Wata'ala. Seperti mana firman-Nya dalam surah al-Israa' ayat 1, bermaksud:

"Maha Suci Allah yang telah menjalankan hamba-Nya (Muhammad) pada malam hari dari Masjid Al-Haram (di Mekah) ke Masjidil Al-Aqsa (di Palestin), yang Kami berkati sekelilingnya, untuk memperlihatkan kepadanya tanda-tanda (kekuasaan dan kebesaran) Kami. Sesungguhnya Allah jualah yang Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui."

Manakala Mikraj merupakan naiknya Nabi Muhammad sallalahu Alaihi wasallam dari bumi, yang menembusi ruang angkasa, sampai pada langit yang pertama, seterusnya ke langit yang ke tujuh, menurut kehendak Allah subhanahu wata’ala.

Israk dan Mikraj adalah mukjizat Nabi Muhammad sallalahu Alaihi wasallam yang tidak boleh difikirkan secara 'aqliah' sahaja, tetapi harus diyakini dengan iman. Kerana itu Allah subhanahu wata'ala mewujudkan peristiwa ini sebagai memperlihatkan kebesaran-Nya termasuk untuk menerima kewajipan solat dan menguji keimanan seseorang terhadap Nabi Muhammad sallallahu Alaihi wasallam.

Kewajiban solat bermula semasa Mikraj Nabi Muhammad sallallahu Alaihi wasallam. Baginda telah menjelajah tujuh lapis langit, lalu sampai ke Sidratulmuntaha, yakni suatu tempat yang tertinggi di atas langit yang ke tujuh. Di sinilah Nabi Muhammad sallallahu Alaihi wasallam menerima wahyu atau perintah langsung daripada Allah subhanahu wata'ala berupa solat fardu lima waktu. Allah subhanahu wata'ala menjelaskan perkara ini seperti yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim.

"Sesungguhnya Aku telah putuskan fardu-Ku, dan telah Ku beri keringanan atas hamba-hamba-Ku, dan Aku akan membalasnya satu kebaikan dengan sepuluh ganjaran."

Penjelasan di atas mengandungi maksud bahawa solat lima waktu itu apabila dikerjakan dengan ikhlas dan penuh khusyuk, akan sama nilainya dengan menunaikan solat lima puluh kali dari segi pahalanya.

Solat merupakan salah satu rukun Islam yang lima. Turunnya perintah solat berlainan dengan turunnya rukun Islam yang lain. Kalau perintah zakat, puasa dan haji cukup dengan perantaraan Jibril, tetapi perintah solat, Nabi sendiri yang bertemu dengan Allah subhanahu wata'ala. Jelas sekali solat itu sebagai tiang agama, seperti yang terkandung dalam riwayat Thabrani, Rasulullah sallalahu Alaihi wasallam bersabda:

"Amalan seorang hamba yang mula-mula diperiksa di hari kiamat ialah solatnya. Jika solatnya baik, maka diterimalah amal-amalnya yang lain. Jika solatnya rosak, maka amal-amal yang lain tidak diterima."

Sementara keimanan seseorang dapat diuji melalui israk dan mikraj. Sepulangnya Nabi dari perjalanan itu, kebanyakan daripada orang kafir Quraisy yang diketuai oleh Abu Jahal semakin mengejek dan menghina Nabi Muhammad sallallahu alaihi wassalam. Malah mereka yang masuk agama Islam pun kembali kepada kekufuran. Tetapi bagi mereka yang mantap imannya akan menjadi semakin kuat imannya sekuat iman Sayidina Abu Bakar As-siddiq, yakni orang pertama yang membenarkan peristewa Israk dan Mikraj.

Akhirnya kita berharap agar hikmah yang terkandung dalam Israk Mikraj ini ditelah dengan teliti oleh kaum Muslimin, dan kita juga berharap agar solat kita dijadikan Allah subhanahu wata'ala sebagai pelindung dan benteng yang teguh bagi menghadapi serangan kekufuran.

0 comments:


Kecantikan yang abadi terletak pada keelokkan adab dan ketinggian ilmu seseorang, bukan terletak pada wajah dan pakaiannya. (Hamka).

"Dalam diari pejuang tiada masalah yang merumitkan, ujian yang melemahkan, dugaan yang menyusahkan, bahkan itu semua dijadikan batu lontan untuk lebih hebat...mereka tepu dengan dugaan...cuma sesekali aicr maata menerjah pipi, lambang kekerdilan kudrat hamba...berdepan dengan belaian Pencipta...sebagai tanda ingatanNya...."


Saifulislam.Com