Pemuda Aset kepada Ummah
Ashabul Kahfi merupakan sekumpulan muda remaja yang mempertaruhkan nyawa demi menegakkan kebenaran. Mereka lari dan bersembunyi di sebuah gua bukan untuk menyelamatkan nyawa, tetapi untuk menyelamatkan iman dan kebenaran . Mereka tidak mengenal erti seronok zaman remaja.
Sayidina Ali KWJ ketika baru berusia lima belas tahun sangat pintar, matang dan serius dalam berfikir. Apabila Rasulullah SAW mengajak beliau untuk memeluk Islam, beliau terlebih dahulu meminta izin daripada Rasulullah SAW untuk pulang berunding dengan ibu bapanya. Belum pun sampai menemui ibu bapanya, beliau berpatah balik dan menemui Rasulullah SAW.
Rasulullah SAW bertanya: “Apa keputusan ibu bapamu?”
Jawab Sayidina Ali, “Ketika Allah menjadikan aku, Allah tidak berunding dengan ibu bapaku, mengapa pula aku perlu berunding dengan ibu bapaku untuk menjadi hambaNya yang berpegang kepada kebenaran.”
Lantas beliau memeluk Islam waktu itu juga. Demi kebenaran dan keyakinan jugalah maka Sayidina Ali sanggup mempertaruhkan nyawa dengan berbaring (tidur) menggantikan tempat Rasulullah SAW di malam di mana Rasulullah SAW berangkat untuk berhijrah. Sedangkan pada malam tersebut pihak musuh telah membuatkeputusan dan menyediakan pasukan untuk membunuh Rasulullah SAW. Apabila empat puluh orang pembunuh handalan menerkam ke tempat tidur tersebut untuk membunuh, mereka dapati Sayidina Ali yang sedang tidur dan bukannya Rasulullah SAW.
Sayidina Ali yang sememangnya semenjak kecil dalam keadaan miskin, tidak pernah kenal erti berfoya-foya, berhibur dan membuang masa. Kepintaran berfikir itu dimilikinya kerana semenjak kecil hatinya bersih dari sebarang titik noda.
Seorang remaja, Mus`ab bin Umair, gambaran hidupnya secara ringkas dikaitkan dengan gambaran kehidupan umat. Daripada Ali bin Abi Talib, “Bahawasanya kami sedang duduk bersama Rasulullah SAW di dalam masjid. Tiba-tiba datang Mus`ab bin Umair dan tiada di badannya kecuali sehelai selendang yang bertampal dengan kulit. Tatkala Rasulullah SAW melihat kepadanya, baginda menitiskan air mata kerana mengenangkan kemewahan Mus`ab ketika berada di Makkah dahulu, dan sangat dimanjakan oleh ibunya, berbanding nasib Mus`ab sekarang (ketika berada di Madinah sebagai Muhajirin yang terpaksa meninggalkan segala harta kekayaan di Makkah).
Kemudian Rasulullah SAW bersabda; “Bagaimanakah keadaan kamu pada suatu ketika nanti, datang di waktu pagi dengan satu pakaian dan datang di waktu petang dengan pakaian lain pula. Dan bila diangkat satu hidangan diletakkan pula satu hidangan yang lain. Dan kamu menutupi (menghias) rumah kamu sepertimana kamu memasang kelambu Kaabah?”
Jawab para sahabat, “Wahai Rasulullah, tentulah di waktu itu kami lebih baik daripada hari ini. Kami akan beri tumpuan kepada ibadah sahaja dan tidak usah mencari rezeki.”
Lalu Rasulullah SAW bersabda :, “Tidak, keadaan kamu hari ini adalah lebih baik daripada hari itu.” (Riwayat At Tirmizi)
Imam Syafie ketika berusia sembilan tahun sudah menghafal tiga puluh juzuk Al Quran. Ketika berumur dua belas tahun sudah mampu mentafsir Al Quran dan menghafal kitab Al Muwattha` karangan Imam Malik. Pada usia empat belas tahun sudah mengajar para alim ulama.Kepintaran beliau terbukti melalui pencapaiannya dalam hal-hal yang tersebut itu. Malah tindakannya juga memiliki hikmah. Ini terbukti apabila suatu hari di bulan Ramadhan sebaik sahaja selesai mengajar anak muridnya yang terdiri di kalangan alim ulama, beliau membuka bekalan lalu makan.
Perbuatan Imam Syafie tersebut meresahkan anak muridnya. Imam Syafie sangat menyedari reaksi tersebut. Menjawab kepada pertanyaan muridnya yang terlalu hairan kerana makan di siang hari bulan Ramadhan itu Imam Syafie dengan tenang dan teratur berkata, “Aku memang sengaja berbuat demikian. Dan soalan inilah yang ditunggu-tunggu. Aku hanya mahu menguji kamu semua sejauh mana kamu peka dan faham menanggapi semua keadaan berpandukan pengajian yang telah dipelajari. Sebenarnya aku belum baligh (belum diwajibkan berpuasa).”
Muhammad Al Fateh yang disebut oleh Rasulullah SAW secara umum dalam hadis yang bermaksud: “Konstantinopel akan dikuasai oleh pemimpin yang baik, bersama tentera yang baik dan rakyat yang baik.” Muhammad Al Fateh adalah seorang yang semenjak balighnya tidak pernah meninggalkan sembahyang tahajjud. Di bawah pimpinan beliaulah Konstantinopel yang berdiri teguh untuk sekian lama di tangan Kristian berjaya ditawan dan kini kekal sebagai Istanbul di bawah kerajaan Turki.
Menilik kepada belia, remaja atau muda mudi kita dewasa ini, tentunya amat mendukacitakan. Andainya iktibar di atas tadi dikemukakan ada pihak yang dengan mudah menolak;
“Ah, itu dulu dan tentulah idealistik. Kini zaman telah berubah dan berbeza.”
Atau ada pula yang tidak terlalu memperlihatkan penolakan tetapi memberi komentar, “Umat Islam kini jangan terlalu khayal dengan keagungan masa silam.”
Memaparkan kejayaan mereka bukan satu khayalan atau terlalu ideal. Tetapi ingin mencari iktibar di mana rahsia kejayaan mereka. Sebab itu Imam Malik r.a. menegaskan tidak akan berjaya umat ini kecuali kembali kepada kaedah yang telah terbukti membawa kejayaan kepada umat terdahulu.
Lebih-lebih lagi dalam menangani masalah di kalangan remaja. Kita tidak perlu mencetus-cipta berbagai kaedah yang kebanyakannya berada pada tahap uji kaji dan cuba jaya. Apabila masyarakat digegarkan dengan gejala negatif, bertambah banyak lagi saranan, perancangan dan program yang diwujudkan. Selepas tempoh tertentu semuanya senyap dan lenyap begitu saja. Kita tentulah tidak rela keadaan seumpama itu terus berlaku. Kerana implikasinya ialah terlalu banyak masa, tenaga dan wang ringgit digunakan tanpa membawa natijah yang memuaskan. Kita juga perlu menyedari iaitu para belia dan remaja merupakan aset penting negara dan umat dengan tanggungjawab besar yang bakal dipikul mereka.
Bukanlah suatu yang mustahil terjadi di mana dalam keadaan mereka yang masih remaja melalui kehidupan negatif tanpa pengubatan, akan diwarisi oleh kehidupan remaja generasi akan datang selepas mereka, yang jauh lebih parah. Ertinya, kini mereka remaja yang bergelumang dengan gejala negatif. Mereka terbiar tanpa dipedulikan. Mereka pula akan dewasa. Tentulah anak-anak mereka bakal mengalami keadaan yang lebih tenat. Kita harus sedar, inilah proses yang telah dan sedang berlaku di kalangan masyarakat Barat. Di zaman ibu bapa mereka sedang remaja, berhibur berfoya hingga jam dua belas tengah malam. Apabila tiba giliran anak-anak mereka mencapai alam remaja, mereka berhibur, berfoya-foya hingga sepanjang malam.
Oleh itu jangan buat alasan; “Tidak mengapa, dan kita kena toleransi kerana kita dulupun melalui alam remaja yang menempuh keadaan yang sama.” Sebenarnya tidak sama. Parahnya gejala negatif kini kerana dulunya di peringkat ibu bapa sudah mengalami unsur negatif yang diabaikan terhadap mereka oleh golongan terdahulu. Air sungai yang kalau keruh di hulu pastilah keruh di kuala.
Apa jua jenis program terhadap belia mestilah menepati keperluan spiritual, mental dan fizikal. Perlu disenaraikan secara terperinci setiap program itu yang benar-benar dapat mengisi spiritual, mental dan fizikal. Perlu benar-benar dikenal pasti yang mana program bersifat spiritual, yang bersifat mental dan fizikal. Dan di situ dapat dilihat sejauh mana ratio atau nisbah pengisian tersebut seimbang atau tidak.
Setiap penyakit ada ubatnya yang serasi. Tersilap ubat adakalanya bukan saja penyakit tidak sembuh malah apa yang dianggap ubat itu boleh mendatangkan mudharat pula. Apabila membicarakan gejala negatif remaja janganlah hendaknya tersalah ubat atau memberi ubat yang tidak serasi. Terlalu mengelirukan apabila ada yang berpendapat gejala negatif itu boleh diubati dengan hanya memanjat bukit, masuk ke hutan, berkayak, berakit, berenang dan bersilat. Kalau benarlah langkah tersebut berkesan, tentulah masyarakat Barat mencapai tahap minima kalaupun tidak sifar. Kerana mereka mempunyai seribu satu macam formula, kaedah, cara, teknik dan pendekatan dalam menghadapi kemelut kehidupan mereka.
Ingatlah ancaman paling besar kepada kehidupan manusia ialah kerakusan nafsu. Gelombang kerakusan nafsu tidak dapat dipatahkan atau ditundukkan dengan cara memanjat bukit, berakit, bersampan dan bersilat. Iman sahaja merupakan pendekar yang mampu menewaskan gelodak nafsu.
Persoalannya, sebanyak mana pengisian iman yang dilalui oleh belia/pemuda kita seperti yang pernah dilalui oleh Sayidina Ali, Mus’ab, Imam Syafie, Muhammad Al Fateh dan yang seumpamanya?
0 comments:
"Dalam diari pejuang tiada masalah yang merumitkan, ujian yang melemahkan, dugaan yang menyusahkan, bahkan itu semua dijadikan batu lontan untuk lebih hebat...mereka tepu dengan dugaan...cuma sesekali aicr maata menerjah pipi, lambang kekerdilan kudrat hamba...berdepan dengan belaian Pencipta...sebagai tanda ingatanNya...."